Monday, June 30, 2014

TAZKIRAH: Membina Taqwa

Setelah kita menyedari betapa pentingnya memiliki dan menguasai sifat taqwa oleh kita semua, maka wajarlah bagi kita berusaha dan berikhtiar untuk menguasai dan menghayatinya sepanjang hidup kita.

Ibadat puasa sebagaimana yang telah di nyatakan mampu membolehkan seseorang mencapai tahap taqwa , namun ianya bukanlah dapat dicapai secara automatik dan tidak pula sama tahapnya antara seseorang dengan seseorang yang lain. Taqwa hanya dicapai apabila seseorang itu menunaikan ibadat puasanya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya.

Untuk itu, puasa mestilah ditunaikan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah, iaitu mentaati perintah Allah dan mencari keredhaNya. Puasa yang ditunaikan untuk tujuaan-tujuaan lain, seperti untuk menunjuk-nunjuk dan untuk tujuan yang selain daripada keredhaan Allah tidak membawa pelakunya mencapai tahap taqwa yang diharap-harapkan itu.

Memang ramai orang mampu menunaikan ibadat puasa dalam erti menahan diri dari makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkannya sepanjang siang hari, namum kesan baik yang diharapkan dari puasa itu masih kurang kelihatan. Masih kedapatan mereka yang melakukan maksiat semasa berpuasa seperi memaki orang, mengumpat dan mencela serta melihat dan memandang perkara-perkara yang dilarang.

Demikian juga terdapat dari kalangan penjawat awam dan mereka yang makan gaji yang tidak menunaikan tugasnya dengan sempurna, lalai, melengah-lengahkan kerja dan lain-lain tanda yang menunjukkan kurang amanahnya terhadap tugas yang diberikan. Sifat negetif seumpama ini menghalang seseorang mendapat taqwa oleh itu marilah kita perbetulkan niat dan cara kita menunaikan puasa kali ini, mudah-mudahan kita memperolehi taqwa yang setinggi-tingginya. Amin!!!!

No comments:

Post a Comment